Penjelaskan dan pembagian hadits dha’if - Hadis dhaif apabila mempunyai banyak tariq dan sebab kedhaifannya bukan kefasiqan dan pendustaan perawi. Berdasarkan definisi ini, hadis dhaif dapat meningkat ke tahap hasan li ghairih dengan dua perkara:
  1. Diriwayatkan daripada satu tariq lain atau lebih dengan syarat tariq tersebut sepertinya atau lebih kuat daripadanya.
  2. Sebab kedhaifan hadis itu sama ada buruk hafalan, terputus pada sanad atau tidak diketahui tentang perawi-perawinya.

Martabatnya

Hasan li ghairih lebih rendah kedudukannya daripada hasan li zatih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, sekiranya hadis hasan li zatihi bercanggah dengan hasan li ghairih, maka hasan li zatih didahulukan.

 

Hukumnya

Ia termasuk dalam hadis maqbul yang boleh berhujah dengannya.

 

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau mengatakannya hasan melalui tariq Syu`bah:
عن عاصمِ بنِ عبدِ اللهِ، قال: سمعتُ عبدَ اللهِ بن عامرِ بنِ ربيعةَ عن أبيهِ:
 أنَّ امرأةً من بَني فزارةَ تزوَّجتْ على نعلينِ، فقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عَليهِ وسلَّم: "أرضيتِ من نفسكِ ومالكِ بنعلينِ؟ قالت: نعمْ. قال: فأجازهُ". وفي البَابِ: عن عمرَ وأبي هُرَيرَةَ وسهلِ بنِ سعدٍ وأبي سعيدٍ وأنسٍ وعَائِشَةَ وجابرٍ وأبي حدردٍ الأسلميِّ.

Daripada `Asim bin `Ubaidillah bin Abdullah bin `Amir bin Rabi`ah daripada bapanya bahwa ada seorang wanita daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah anda setuju untuk dirimu dan harta dengan sepasang kasut? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan. Al-Tirmizi berkata: “Di dalam bab ini ada diriwayatkan juga daripada Umar, Abu Hurairah, Aisyah dan Abi Hadrad.”

Asim adalah seorang dhaif kerana hafalannya buruk, sedangkan al-Tirmizi menghukumkan hadis ini hasan kerana ia mempunyai lebih daripada satu jalan.

Definisi. Dari sudut bahasa ia lawan kepada al-qawiyy (yang kuat), kelemahan itu terbagi kepada konkrit dan abstrak. Yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan abstrak. Makna istilahnya ialah hadis yang tidak mencukupi sifat hasan kerana ketiadaan salah satu syaratnya.
Al-Bayquni mengungkapkan di dalam nazamnya:
كل ما عن رتبة الحسن قصرفهو الضعيف وهو أقسام كثر
Setiap apa daripada tingkat hasan, rendah maka itu dhai`f dan bahagiannya banyak

Tahap kedha`ifan hadis berbeda mengikut tahap berat dan ringan kelemahan para perawi sebagaimana hadis sahih berbeda-beda. Antara lain dha`if, dha`if jiddan, wahi, munkar dan yang paling buruk ialah mawdhu`.

Berdasarkan kepada perbahasan dalam hadis sahih tentang sanad yang paling sahih, ulama menyebut dalam perbahasan dha`if satu istilah yang dinamakan sanad yang paling lemah. Al-Hakim al-Naisaburi menyebut beberapa buah sanad yang paling dha`if dengan nisbah kepada sebahagian sahabat, sebahagian kawasan dan negeri. Penulis akan menyebutkan beberapa contoh daripada kitab al-Hakim dan kitab-kitab lain.
  1. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Abu Bakar al-Siddiq yaitu Sadaqah bin Musa al-Daqiqi daripad Farqad al-Sabkhi daripada Murrah al-Tayyib daripada Abu Bakar.
  2. Sanad penduduk Syam yang paling lemah yaitu Muhammad bin Qays al-Maslub daripada Ubaidullah bin Zahr daripada Ali bin Yazid daripada al-Qasim daripada Abi Umamah
  3. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Ibn Abbas yaitu al-Suddi al-Saghir Muhammad bin Marwan daripada al-Kalbi daripada Abu Salih daripada Ibn Abbas. Hafiz Ibn Hajr berkata: Ini adalah silsilah dusta bukan silsilah emas.

Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dari tariq Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaimai daripada Abu Hurairah bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:
من أتى حائضا أو امرأة في دبرها أو كاها فقد كفر بما أنزل على محمد
“Sesiapa yang mendatangi permpuan yang haid atau mendatangi isteri pada duburnya atau menemui tukang tilik, sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad”.

Setelah mengeluarkan hadis ini, al-Tirmizi mengulas: “Kita tidak mengetahui hadis ini dari hadis Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaimai daripada Abu Hurairah.” Kemudian al-Tirmizi berkata lagi: “Muhammad al-Bukhari telah mendha`ifkan hadis ini dari sudut sanadnya. Penulis berpendapat kerana pada sanadnya ada Hakim al-Athram. Ulama telah mengatakannya dha`if. Di dalam Taqrib al-Tahzib, Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya ada kelemahan.”

Di sisi ulama hadis dan juga orang lain, harus meriwayatkan hadis dha`if dan bermudah pada sanadnya tanpa menjelaskan kedha`ifannya berbeda dengan yang mawdhu kerana tidak harus meriwayatkannya kecuali dengan menjelaskan tentangnya. Keharusan meriwayatkan hadis dha`if dengan dua syarat:
  1. Tidak berkait dengan aqidah
  2. Periwayatan itu bukan tentang hukum syara` yang berkaitan dengan halal haram
Harus meriwayatkannya pada perkara seperti peringatan, galakan, ancaman, cerita-cerita dan sebagainya. Antara mereka yang disebutkan bermudah-mudah dalam meriwayatkannya ialah Sufyan al-Thauri, Abdul Rahman bin Mahdi dan Ahmad bin Hanbal

Perlu diberi perhatian apabila anda meriwayatkan hadis dha`if tanpa sanad, jangan katakan ‘Rasulullah s.a.w. bersabda’, tetapi katakan ‘diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w….’ atau ‘sampai kepada kami’ dan sebagainya supaya anda tidak secara pasti menisbahkan hadis tersebut kepada Rasulullah s.a.w. sedangkan anda mengetahui kelemahannya.

Ulama berbeda pendapat tentang hukum beramal dengan hadis dha`if. Pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah dianggap sunnat beramal dengan hadis dha`if berkenaan dengan keutamaan-keutamaan amalan namun dengan tiga syarat yang telah dihuraikan oleh Hafiz Ibn Hajar:
 
  1. Kedha`ifan yang tidak bersangatan
  2. Ia termasuk di bawah prinsip atau dalil yang diamalkan
  3. Tidak boleh yakin tentang sabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.
  1. Kitab-kitab yang disusun berkenaan perawi-perawi dha`if seperti Kitab al-Dhu`afa’ tulisan Ibn Hibban, Mizan al-I`tidal karangan al-Zahabi. Mereka telah menyebutkan contoh-contoh hadis dha`if yang menjadi dha`if kerana periwayatan orang-orang dha`if tersebut.
  2. Kitab-kitab yang disusun tentang bentuk-bentuk dha`if secara khusus seperti kitab-kitab al-Marasil, al-`Ilal, al-Mudraj dan sebagainya. Contohnya Kitab al-Marasil tulisan Abu Daud, Kitab al-`Ilal susunan al-Daruqutni.
Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.

Bagian-Bagian Gugur
Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:

Gugur Yang Jelas. Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapati dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan  tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.

Ulama hadis telah memperkenalkan  empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.
a.       al-Mu`allaq
b.      al-Mursal
c.       al-Mu`dhal
d.      al-Munqati`

Gugur Tersembunyi. Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad.
Ia mempunyai dua nama yaitu:
a.       al-Mudallas
b.      al-Mursal al-Khafiy

Definisi. Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja `allaqa al-syai’ yaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu`allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.

Bentuknya:
a.       Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda…
b.      Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi`in.

Contoh:
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal Bab Ma Yuzkar fi al-Fakhz:
وقال أبو موسى: غطى النبي صلى الله عليه وسلم ركبتيه حين دخل عثمان.                               
“Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika Uthman masuk.”

Hadis ini adalah hadis mu`allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja yaitu Abu Musa al-Asy`ari.

Hukum Hadis Mu`allaq
Hadis mu`allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis yaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.

Hukum Hadis-Hadis Mu`allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim
Hukum ini yaitu hadis mu`allaq tertolak hanya kepada hadis mu`allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu`allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.
  1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’ dan ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
  2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak hukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat dhaif) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan kedhaifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.
Definisi. Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja arsal yaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali. Dari segi istilah adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi`in. 

Bentuknya:
Bentuknya ialah seorang tabi`in – besar atau kecil- berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.

Contoh:
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahih dalam kitab al-Buyu` (1539).
وحدثني محمد بن رافع. حدثنا حجين بن المثنى. حدثنا الليث عن عقيل، عن ابن شهاب، عن سعيد بن المسيب؛
 أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع المزابنة
Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi` menceritakan kepadaku bahwa Hujain menceritakan kepadaku bahwa al-Laith menceritakan daripada `Uqail daripada Ibn Syihab daripada Sa`id bin al-Musayyab bahwa Rasulullah s.a.w. melarang dari al-Muzabanah.

Sa`id bin al-Musayyab adalah tabi`in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w. tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi`in. paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi`in.

Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursal menurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati` tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib.

Hukumnya: 
Mursal pada asalnya dha`if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul yaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi pearwi yang gugur itu daif.

Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita` (terputus sanad) berbeda dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan jika mereka tidak diketahui.

Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:
  1. Dha`if dan mardud, yaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
  2. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi`in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
  3. Menerima dengan syarat. Yaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Syafi`e dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu.
Syarat-syarat tersebut ialah:
  1. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi`i yang besar.
  2. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
  3. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut:
  1. Hadis itu diriwayat melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung).
  2. Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
  3. Hadis itu bertepatan dengan qaul al-Sahabi (pendapat sahabat)
  4. Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut makna hadis itu.

Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka hadis itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai banyak jalan.

Yaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn Abbas, Ibn al-Zubair dan lain-lain.

Hukum Mursal al-Sahabi
Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi`in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi`in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan.
Dikatakan, hukum Mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini dha`if dan tertolak.
Kitab-kitab yang masyhur
  1. al-Marasil karangan Abu Daud.
  2. al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim.
  3. Jami` al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-`Ala’i.
Definisi. Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja a`dhala yaitu memenatkan. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari sanad dua orang perawi berturut-turut.

Contohnya:
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam Ma`rifah `ulum al-Hadith dengan sanadnya kepada al-Qa`Nabi
عن مالك إنه قد بلغه أن أبا هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للمملوك طعامه وكسوته بالمعروف ولا يكلف من العمل إلا ما يطيق هذا معضل أعضله عن مالك هكذا في الموطأ
Daripada Malik bahwa sampai kepadanya bahwa Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hamba yang dimiliki itu berhak mendapat makanannya, pakaiannya secara yang baik. Dia tidak boleh dibebankan dengan kerja melainkan yang mampu dilaksanakannya. Al-Hakim berkata: Hadis ini mu`dhal daripada Malik demikianlah yang diriwayatkannya secara mu`dhal di dalam al-Muwatta”

Hadis ini mu`dhal kerana dua orang perawi berturut-turut gugur antara Malik dan Abu Hurairah. Kita telahpun mengetahui bahwa keguguran ini berlaku berdasarkan kepada hadis lain yang diriwayatkan di luar kitab al-Muwatta’. Sanad itu ialah daripada Malik daripada Muhammad bin `Ajlan daripada bapanya daripada Abu Hurairah.

Hukumnya:
Mu`dhal adalah hadis yang dha`if dan keadaan lebih buruk daripada hadis mursal dan munqati` kerana ramainya perawi yang gugur daripada sanad. Hukum ini sepakat di kalangan ulama.

Persamaan Antara Mu`dhal Dan Mu`allaq
Di antara mu`dhal dan mu`allaq terdapat hubungan keumuman dan kekhususan dari satu sudut.
  1. Menyerupai mu`alaq dari sudut, apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari permulaan sanadnya. Pada ketika itu, hadis ini dalam masa yang sama mu`dhal dan mu`allaq.
  2. Berbeda dalam dua bentuk:
a.   Apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari pertengahan sanad maka itu adalah mu`dhal tidak mu`allaq.
b. Apabila seorang perawi sahaja yang dibuang dari permulaan sanad, maka ia adalah mu`allaq tidak mu`dhal.

Antara Sumber Hadis Mu`dhal
Al-Suyuti menulis: Di antara sumber hadis mu`dhal ialah:
  1. Kitab al-Sunan karangan Sa`id bin Mansur.
  2. Kitab-kitab Ibn Abi al-Dunya.
Definisi. Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku bagi kata kerja inqata`a yaitu terputus. Dari segi istilah ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.

Contohnya:
Yaitu setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau akhirnya atau pertengahannya. Dengan itu, termasuk di dalam takrif ini, mursal, Mua`allaq dan Mu`dhal. Bagaimanapun, ulama mustalih hadis mutakhirin mengkhususkan munqati` dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadis mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama mutaqaddimin. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan: “Munqati` itu lebih banyak digunakan kepada riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi`i dari sahabat seperti Malik daripada Ibn Umar.

Munqati` Mengikut Ulama Hadis Yang Mutakhir
Yaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Seolah-olah munqati` lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk yaitu gugur di awal sanad, gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nukhbah dan syarahnya al-Nuzhah.

Kadang-kadang terputus sanad berlaku di satu bahagian pada sanad kadang-kadang berlaku lebih daripada satu seperti dua atau tiga bahagian,

Contohnya:
Hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq
ثنا عبد الرازق قال ذكر الثوري عن أبي إسحاق عن زيد بن يثيع عن حذيفة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن وليتموها أبا بكر فقوي أمين
“Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya al-Thauri telah menyebutkan daripada Abu Ishaq daripada Zaid bin Yuthai` daripada Huzaifah secara marfu`: Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”

Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur yaitu Syarik antara al-Thauri dan Abu Ishaq kerana al-Thauri tidak pernah mendengar hadis daripada Abu Ishaq secara langsung. Sebenarnya beliau mendengar daripada Syarik dan Syarik mendengar daripada Abu Ishaq.

Terputus sanad ini tidak sesuai untuk dikatakan sebagai mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Justeru kita mengatakan ia adalah munqati`.

Hukumnya:
Munqati` adalah dhaif dengan sepakat ulama kerana tidak mengetahui kedudukan perawi yang gugur.

AL-MUDALLAS
Definisi al-Tadlis. Dari segi bahasa adalah objek bagi kata dasar tadlis yaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas yaitu kegelapan atau pencampuranan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan). Dari segi istilah adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.

Tadlis mempunyai dua bahagian utama yaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Syuyukh.

Tadlis al-Isnad
Ulama telah memberi berbagai definisi bagi tadlis al-Isnad. Penulis akan memilih yang paling sahih dan paling halus mengikut pandangan penulis yaitu takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hasan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah:
“Seorang perawi meriwayatkan hadis –hadis yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahwa dia mendengar daripadanya”

Maksud takrif ini ialah Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi telah meriwayatkan beberapa hadis daripada seorang syaikh yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadis yang ditadliskannya itu dia  tidak mendengar sendiri daripada syaikh tersebut. Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada syaikh yang lain daripada syaikh yang pertama tadi. Jadi dia telah mengugurkan syaikh tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’. Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahwa dia mendengar hadis tersebut daripada syaikh itu. Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘Saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’, supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu. Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.

Setelah mengemukakan takrifnya, Abu al-Hasan al-Qattani menyatakan: perbedaan di antara Tadlis al-Isnad dan al-Irsal al-Khafi yaitu al-Irsal ialah perawinya  adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadis daripadanya. Ringkasnya  ialah al-Mursil al-Khafi (perawi yang melakukan al-Irsal al-Khafi) dan al-Mudallis meriwayatkan daripada syaikh hadis yang tidak pernah didengari daripada syaikh itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar. Tetapi al-Mudallis ada mendengar juga beberapa hadis lain selain daripada hadis yang ditadliskannnya sedangkan al-Mursil al-Khafi langsung tidak pernah mendengar hadis daripada syaikh tersebut, baik hadis yang dimursalkannya atau hadis-hadis lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.

Contohnya:
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dengan sanadnya melalui Ali bin Khasyram,
علي بن خشرم قال قال لنا بن عيينة عن الزهري فقيل له سمعته من الزهري فقال لا ولا ممن سمعه من الزهري حدثني عبد الرزاق عن معمر عن الزهري
“Ali bin Khasyram berkata, Ibn Uyainah berkata kepada kami daripada al-Zuhri lalu beliau ditanya adakah anda mendengar daripada al-Zuhri katanya tidak, tidak dari orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku daripada Ma`mar daripada al-Zuhri.”

Di dalam contoh ini, Ibn Uyainah telah menggugurkan dua orang perawi di antara beliau dan al-Zuhri.

Sebenarnya bentuk tadlis ini salah satu bentuk Tadlis al-Isnad. Takrifnya ialah periwayatan seorang perawi daripada syeikhnya kemudian menggugurkan seorang perawi dhaif di antara dua perawi thiqah yang masing-masing saling bertemu. Gambarannya ialah seorang perawi meriwayatkan satu hadis daripada seorang syeikh yang thiqah. Syeikh yang thiqah itu meriwayatkan daripada perawi dhaif daripada perawi thiqah. Dua perawi yang thiqah ini pernah bertemu. Lalu perawi yang mendengar hadis daripada thiqah yang pertama datang dengan menggugurkan perawi dhaif yang terdapat di dalam sanad. Dia menjadikan sanad itu daripada syeikh yang thiqah dari syeikh thiqah yang kedua dengan lafaz yang tidak jelas lalu dia telah menyamakan keseluruhan sanad itu daripada perawi-perawi thiqah.

Ini adalah bentuk tadlis yang paling jelik kerana perawi  thiqah yang pertama kemungkinan tidak pernah dikenali sebagai mudallis. Orang yang datang kemudian dan melihat sanad ini setelah berlaku tadlis taswiyah akan mendapati ianya telah diriwayatkan daripada perawi thiqah lalu dia menghukumkan sahih. Maka ini adalah satu tipu daya yang dahsyat.

Orang Yang Terkenal Melakukan Tadlis:
Baqiyyah bin al-Walid. Abu Mushir berkata: hadis-hadis Baqiyah tidaklah bersih maka hendaklah anda berwaspada.

Al-Walid bin Muslim. Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam kitabnya al-`Ilal, katanya: Saya mendengar bapa saya berkata- lalu dia menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawaih  daripada Baqiyah, Abu Wahb al-Asadi telah menceritakan kepada saya daripada Nafi` daripada Ibn Umar hadis:

Jangan kamu memuji keislaman seseorang sehinggalah kamu mengetahui pegangannya. Bapa saya berkata: Hadis ini mempunyai satu perkara yang jarang diketahui. Hadis ini diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Amar daripada Ishaq bin Abu Farwah daripada Nafi` daripada Ibn Umar daripada Rasulullah s.a.w.. Ubaidullah adalah seorang yang thiqah. Ibn Amar, kunyahnya ialah Abu Wahb dan dia dinisbahkan dengan al-Asadi. Baqiyyah telah menyebutkan Ubaidullah dengan kunyahnya dan menisbahkannya kepada Bani Asad supaya kedudukannya tidak diketahui sehingga orang lain tidak menyedari bahwa dia menggugurkan Ishaq bin Abi Farwah.

Definisi. Seorang perawi meriwayatkan satu hadis yang didengarnya daripada syaikh lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syaikh itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Contohnya:
Abu Bakar bin Mujahid, salah seorang imam qiraat berkata: Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya. Yang dimaksudkannya  ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.

Hukum Tadlis
Tadlis al-Isnad hukumnya adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama. Syu`bah adalah seorang ulama yang keras dalam mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan  daripada beliau. Antaranya ialah, tadlis adalah saudara berdusta.

Manakala hukum tadlis al-Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata: Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya.

Tadlis al-Syuyukh pula, hukum makruhnya lebih ringan daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan kepada pendengar untuk mengetahuinya. Keadaan makruh berbeda mengikut tujuan tadlis itu.

Posting Komentar Blogger